Sebenarnya, ‘Mantai’ berasal dari perkataan ‘Bantai’ yang bermaksud
menjatuhkan seekor kerbau, lembu atau kambing untuk tujuan kudus agama.
Mengikut sejarah, amalan ini merupakan dari zaman purba sebelum pra
Islam. Pada masa itu, daging tersebut akan dipersembahkan kepada dewata
sebagai penghormatan.
Amalan dipraktikkan secara meluas di Pagar Ruyung
sebelum era pemerintahan Raja Adityawarman lagi yang menguasai rantau
Sumatera tengah antara 1347 hingga 1375 Masihi itu, kemudian dibawa
masuk ke Negeri Sembilan.
Hari Mantai bermula di Naning, kemudian dituruti di Rembau. Ketika
itu, Naning masih lagi sebahagian Negeri Sembilan sehingga tahun 1833
apabila British memasukkannya ke dalam Melaka.
Apabila Islam berkembang di Negeri Sembilan kira-kira seperingkat
selepas Melaka sekitar 1413, maka tradisi tersebut mula disesuaikan
supaya menepati syarak dan sebutannya turut diubah dari ‘Hari Bantai’
kepada ‘Hari Mantai’ mengikut istilah penduduk tempatan.
Tiga perkara paling signifikan dapat dilihat pada Hari
Mantai iaitu memuliakan ALLAH, berpuasa untuk memanfaatkan Ramadan serta
membantu masyarakat yang tiada habuan daging.
Lazimnya Tok Sidang akan mencari bahan (haiwan) yang sesuai untuk
disembelih, kira-kira tiga minggu sebelum ketibaan Hari Mantai.
Pada prinsipnya, mesti ada nisbah untuk fakir miskin dan Tok Sidang perlu menyampaikannya sendiri kepada mereka. Contoh terbaik dapat dilihat sekitar era 50an di Jelebu.
Berbeza dengan zaman sekarang, dahulu, daun pisang atau daun palas digunakan semasa menyembelih pada Hari Mantai.
Keempat-empat kaki haiwan yang hendak disembelih akan ditanjur dengan
tali. Seterusnya kedua-dua kaki depan ditarik ke kiri, manakala
kedua-dua kaki belakang ke kanan menyebabkan kerbau, lembu atau kambing
itu hilang keseimbangan lalu jatuh.
Sebelum disembelih, sehelai daun pisang atau daun palas akan dibantai
ke seluruh tubuh haiwan itu termasuk bahagian urat merih dengan tujuan
supaya nyawa dan jasad berpisah dalam keadaan damai. Dari situlah
datangnya perkataan ‘bantai’.
Bagi kerbau pula, situasinya lebih istimewa berikutan mesti ada empat daun pisang atau empat daun palas digunakan.
Di Minangkabau, kerbau lebih dihormati kerana dianggap sebagai elemen
utama dalam mencari rezeki. Dalam hal ini, membantu membajak di sawah.
Bagaimanapun, budaya memukul menggunakan daun ini semakin dilupakan sekitar 50an dan tidak diamalkan lagi pada 1960. Pada waktu itu, fungsi kerbau mula berkurangan disebabkan kewujudan jentera pembajak. Sekali gus, masyarakat juga hilang pautan animisme.
Keadaan tersebut jelas ketara di Rembau, Kuala Klawang dan
Johol manakala di Sungei Ujong melibatkan kawasan Kuala Sawah dan
Kampung Pantai.
Tambahan pula golongan tua banyak sudah tidak ada, sedangkan golongan
muda enggan meneruskan tradisi sedemikian. Maka tinggallah Hari Mantai
yang dapat kita lihat pada hari ini. Rasanya, tidak sampai 10 peratus
yang tahu asal usul Hari Mantai.
Lagipun, Hari Mantai ini hanya dianggap sebagai amalan sipi. Melalui
kedatangan Islam, hukum syarak lebih diutamakan berbanding adat. Sebab
itulah sering disebutkan yang adat bersendikan syarak, syarak pula
bersendikan Kitabullah.
#tq ALLAh.
#tq LOvE.
#tq my fAmiLy.
#tq LOvE.
#tq my fAmiLy.
No comments:
Post a Comment